BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, April 15, 2011

now i'm medical student and she teach me a lot.....

Alumni: Pengorbanan Dr Harlina Halizah

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my
2011/02/24

Abadikan diri didik bakal doktor bagi kesejahteraan rakyat

BERKHIDMAT sebagai doktor dan pendidik menjadi impian Dr Harlina Halizah Siraj sejak kecil. Memegang jawatan sebagai Prof Madya (Klinikal) dan Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi (O&G) di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) membolehkan beliau menunaikan kedua-dua cita-cita murninya itu serentak dengan penuh dedikasi.

Lebih mesra dengan panggilan Dr Har, beliau bukan saja sudah lebih 19 tahun bergelar doktor, tetapi turut membimbing ribuan pelajar perubatan selama 13 tahun.

Hasrat alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, beliau mahu melahirkan seramai mungkin pengamal perubatan yang bukan saja disegani kerana kepakaran klinikal, tetapi turut disenangi dengan keperibadian tinggi.

"Perubatan ialah satu lapangan yang memerlukan komitmen pembelajaran sepanjang hayat. Pelajar sendiri perlu mencetus keghairahan mahu menuntut ilmu, bukan bergantung sepenuhnya kepada tenaga pendidik yang menunjuk ajar.

"Akhlak juga menjadi pembeza utama antara pengamal perubatan yang mulia dan doktor yang angkuh. Malang bagi pelajar yang serba kekurangan dalam aspek ini, sekalipun begitu cerdas mengumpul deretan `A+’ dalam transkrip keputusan peperiksaan saban semester.

"Harapan saya, setiap pelajar perubatan UKM ada ciri Dr Har pada dirinya iaitu apabila merawat pesakit, mereka menggunakan ilmu dan cara berkomunikasi yang saya ajar serta melemparkan senyuman seperti yang selalu saya ingatkan," katanya.

Mengutamakan nilai keberkatan dalam profesionnya itu juga pendorong utama Dr Harlina Halizah kekal di UKM walaupun berpotensi meraih pendapatan berlipat ganda jika berkhidmat di sektor perubatan swasta.

Baginya, kesetiaan menabur bakti di universiti itu sesuai hadis Nabi Muhammad SAW mengenai tiga amalan yang akan berlanjutan pahala apabila meninggal dunia iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat kepada orang lain serta anak soleh yang berdoa untuknya.

"Jika benar gaji saya boleh mencecah puluhan atau ratusan ribu sebulan jika membuka klinik sendiri atau berkhidmat di hospital swasta, saya redakan dan menganggap ia sedekah.

"Lebih utama, kekal berkhidmat di UKM membolehkan saya terus mengajarkan ilmu perubatan yang begitu tinggi manfaatnya kepada lebih ramai pelajar. Ribuan pelajar ini selalu saya bahasakan sebagai anak, diajar dan dilayan seperti anak sendiri. Semoga mereka mendoakan kesejahteraan saya untuk terus berbakti," katanya.

Tumpuannya kini untuk memantapkan kemahiran sebagai pendidik termasuk dengan menjalani latihan di Harvard Macy Institute, Harvard Medical School, Boston, Amerika Syarikat pada tahun ini.

Membesar dalam keluarga yang menyanjung ketinggian tradisi ilmu dan membudayakan kecemerlangan, Dr Harlina Halizah tidak putus menerima pengiktirafan sejak zaman persekolahan hingga kini.

Antara lain, beliau menerima Biasiswa Pelajar Cemerlang Perubatan UKM sepanjang lima tahun pengajian, Anugerah Graduan Cemerlang Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UKM dan Anugerah Pengajar Cemerlang UKM.

Beliau turut meraih Anugerah Melayu Cemerlang UMNO selain pernah dicalonkan untuk Anugerah Great Women of Our Times daripada majalah Malaysian Women’s Weekly.

Baru-baru ini, beliau menerima Anugerah Saidatina Khadijah pada Sambutan Majlis Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor bagi 1432 Hijrah.

Dr Harlina Halizah Siraj melahirkan rasa syukur terhadap pengiktirafan itu kerana Saidatina Khadijah memang idola baginya.

“Wajar bagi kita menjadikan Saidatina Khadijah sebagai wanita contoh untuk mencapai kecemerlangan kerana banyak contoh teladan yang ada pada isteri Rasulullah itu.

“Wanita bukan hanya di taraf kedua. Kita sebenarnya berjalan seiring dan jika mengambil semangat Saidatina Khadijah, kita tahu bahawa perjuangan Rasulullah turut mendapat sokongan kuat Saidatina Khadijah," katanya.

Dr Har aktif khidmat masyarakat

PROF Madya Dr Harlina Halizah Siraj gemar melakukan khidmat masyarakat dan kerja sukarelawan selain berkhidmat sebagai pakar di hospital.

Beliau ialah Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia dan banyak memberikan sumbangan dalam membantu anggota masyarakat agar kembali berpegang teguh kepada ajaran agama walaupun dalam keghairahan mencapai status negara maju.

Menghargai sumbangan meluas itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menobatkan beliau sebagai penerima Anugerah Khas Kualiti UKM, Kategori Khidmat Masyarakat sebanyak dua kali, pada 2004 dan 2007.

Selain itu, Dr Harlina Halizah lantang melontar pendapat dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman mengenai pelbagai isu semasa menerusi media cetak dan penyiaran.

Beliau pernah menjadi tetamu jemputan rancangan Malaysia Hari Ini, Wanita Hari Ini, (WHI), Al-Kuliyyah dan Al-Hidayah di TV3; Keluarga di 9, Nasi Lemak Kopi O dan Halaqah di TV9 serta Selamat Pagi Malaysia dan Fast Forward menerusi RTM.

Beliau juga panel berkala Wanita Hari Ini di radio IKIM, motivator di radio KL.fm dan kolumnis beberapa majalah tempatan.

Pembabitan aktif Dr Harlina Halizah dalam pelbagai aktiviti sosial itu antara pendekatan bagi memanfaatkan sepenuhnya kesarjanaannya untuk manfaat masyarakat.

"Cabaran kita di menara gading ialah untuk mempermudahkan penyampaian ilmu agar pengetahuan dimiliki dapat dikongsi dengan semua golongan masyarakat walaupun mungkin ada yang tidak pandai membaca dan menulis.

"Alhamdulillah, saya dikurniakan bakat dalam pengucapan awam, berupaya mempermudah penjelasan mengenai sesuatu perkara. Namun, saya tidak melihat ia sebagai satu kelebihan semata-mata, sebaliknya amanah dan tanggungjawab besar untuk dimanfaat bagi memberi nilai tambah kepada masyarakat,” katanya.

Dr Harlina Halizah juga menyarankan agar wanita meningkatkan usaha bagi melonjakkan kemampuan diri bukan saja dalam menambah ilmu pengetahuan, tetapi juga dari sudut sikap serta tanggungjawab dalam membina masyarakat.

0 comments: